Nabi Ismail a.s.
Kelahiran Nabi Ismail
Nabi
Ibrahim merupakan putera pertama nabi Ibrahim. Bonda baginda ialah Siti Hajar
yang merupakan isteri kedua nabi Ibrahim. Siti Hajar merupakan seorang wanita
yang setia. Beliau berkahwin dengan nabi Ibrahim dengan keizinan isteri pertama
baginda, Siti Sara. Nabi Ismail dilahirkan ke dunia hasil doa nabi Ibrahim yang
begitu inginkan zuriat.
"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang
anak) yang termasuk orang-orang yang saleh. Maka Kami beri dia khabar gembira
dengan seorang anak yang sabar. "
(ash-Shaafaat,
37:100-101)
Tidak lama selepas kelahiran nabi Ismail, baginda dibawa
berhijrah oleh ayahandanya, nabi Ibrahim beserta Siti Hajar ke sebuah tempat
yang tandus di atas perintah Allah. Di sana baginda telah ditinggalkan bersama
bondanya. Tempat ini merupakan sebuah lembah gersang yang tidak mempunyai sumber
air dan hidupan lain.Walaupun berat hati nabi Ibrahim untuk meninggalkan
puteranya yang baru lahir dan isterinya yang tercinta, namun atas kepatuhannya
kepada perintah Allah, baginda terpaksa pergi. Baginda menyerahkan segalanya
kepada Allah di samping berdoa,
"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah
menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman
di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhanku kami (yang demikian
itu) agar mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung
kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka
bersyukur." (Ibrahim, 14:37)
Suasana pemergian nabi Ibrahim adalah
sungguh hiba. Nabi Muhammad pernah bersabda, 'Nabi Ibrahim membawa isteri dan
anaknya yang masih lagi menyusu. Mereka ditempatkan berdekatan dengan tapak
Kaabah sekarang. Pada waktu itu Mekah masih lagi tidak berpenghuni dan tiada
sumber air. Nabi Ibrahim turut meninggalkan bungkusan berisi tamar dan bekas
kulit yang penuh dengan air. Di saat keberangkatan nabi Ibrahim, Siti Hajar
mengejar baginda seraya berkata, "Wahai kekandaku, ke manakah kekanda akan
pergi? Tergamak hati kekanda meninggalkan kami bersendirian di bumi yang tandus
ini. Apakah yang kami akan lakukan setelah bekalan ini habis kelak?" Siti Hajar
mengulanginya beberapa kali, namun nabi Ibrahim tetap meneruskan langkahnya.
Kemudian Siti Hajar bertanya adakah ini perintah dari Tuhan. Nabi Ibrahim
menganggukkan kepalanya dan terus berjalan. Siti Hajar berpatah balik dengan
penuh reda, kerana percaya bahawa Allah sentiasa berada disisinya dan
melindunginya.
Tidak lama kemudian, bekalan yang ditinggalkan mulai
habis. Nabi Ismail mulai menangis kerana kehausan. Siti Hajar tidak sampai hati
melihat keadaan anaknya. Dia berlari tujuh kali berulang dari Bukit Safa dan
Marwa untuk mencari air. Semasa berlari untuk kali kelapan, beliau melihat
anaknya, nabi Ismail menghentakkan kakinya ke tanah. Maka dengan kuasa Allah,
terpancutlah air dari rekahan tanah yang dihentak tadi. Siti Hajar lantas
meminum air itu dan terus menyusui Nabi Ismail. Mata air itu terus mengalir
hinggalah sekarang dan dikenali sebagai air zam zam.
Dugaan dari
Tuhan
Peristiwa Siti Hajar berlari di antara Bukit Safa dan Marwa
merupakan satu sejarah besar di dalam Islam. Ia telah dijadikan salah satu
daripada Rukun Haji. Di samping itu, peristiwa bagaimana nabi Ismail menjadi
korban juga mengingatkan kita akan ketakwaan baginda kepada Allah. Nabi Ibrahim
telah menerima wahyu dari Allah untuk mengorbankan anaknya, nabi Ismail.
Kedua-dua anak beranak ini, akur dengan perintah Allah, walaupun telah digoda
oleh syaitan. Semasa nabi Ibrahim ingin menyembelih leher anaknya, malaikat
telah membalikkan pisau yang tajam itu, dan membisikkan kepada baginda akan
wahyu Tuhan agar tidak meneruskan penyembelihan itu, sebaliknya cukuplah sekadar
mengorbankan seekor kambing biri-biri.
Apabila sudah dewasa, nabi Ismail
berkahwin dengan seorang gadis, tetapi akhirnya mereka bercerai kerana isteri
baginda sudah berlaku tidak sopan kepada nabi Ibrahim yang telah menyamar
menjadi seorang tua. Kemudian nabi Ismail telah berkahwin dengan puteri ketua
suku Jurhum dan perkahwinan ini berkekalan.
Pembinaan semula
Baitullah
Baitullah yang juga dikenali sebagai Kaabah merupakan arah
kiblat bagi semua umat Islam bersembahyang untuk mengabdikan diri kepada Allah.
Kaabah pada mulanya telah dibina oleh nabi Adam, bapa kepada sekalian manusia.
Apabila banjir besar melanda Mekah, Kaabah telah rosak. Nabi Ibrahim telah
membinanya semula di atas tapak yang sama.Baginda telah meminta nabi Ismail
untuk mencari sebiji batu bagi menandakan penjuru bagi Kaabah. Maka Jibril telah
memberikan nabi Ismail petunjuk untuk mencari sebiji batu yang diberi nama
Hajarul Aswad. Semasa batu itu diletakkan, mereka telah
berdoa;
"(Ingatlah)ketika Ibrahim mempertinggi asas Bait (Kaabah)
bersamai Ismail, (kemudian berkata): Ya Tuhan kami, terimalah amalan kami,
sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami,
jadikanlah kami dua orang muslim, (patuh mengikut Mu) dan dari anak cucu kami
menjadi umat muslim bagi Engkau, dan perlihatkanlah kepada kami 'amalan haji'
dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Penerima taubat lagi Maha
Penyayang." (al-Baqarah, 2:127-129)
Pendudukan Mekah
Nabi
Ismail dan ibunya tinggal berhampiran dengan Kaabah. Keturunan mereka berkembang
kepada suku-suku kaum di Mekah. Salah satu darinya dikenali sebagai Quraisy.
Daripada suku ini, telah lahir seorang manusia yang agung iaitu Nabi Muhammad
SAW. Mekah kemudiannya telah menjadi pusat perkembangan Islam yang termasyhur di
seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment