AHLAN WA SAHLAN


Sunday, April 21, 2013

CAP - e-Pembelajaran

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang pesat membolehkan pembelajaran dan pengajaran dibuat melalui penggunaan rangkaian yang mampu menghubungkan guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan bahan web global secara dalam talian. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi untuk memudah cara proses pembelajaran dan pengajaran atau lebih khususnya e-Pembelajaran menjadikan pelajar lebih aktif dan bertanggungjawab terhadap pembelajarannya. Konsep pembelajaran sedemikian yang tertumpukan pelajar melalui teknologi e-Pembelajaran dijangka melahirkan siswazah yang lebih bertanggungjawab, bebas dan berdikari serta boleh bersaing di persada antarabangsa.

Dalam mengharungi arus transformasi pendidikan ini, salah satu inisiatif awal Projek Agenda Kritikal (CAP) e-Pembelajaran ialah menggubal Dasar e-Pembelajaran Negara (DePAN) untuk menyediakan satu kerangka e-Pembelajaran berkualiti yang sesuai dengan konsep 1Malaysia dan Model Baharu Ekonomi. Dasar e-Pembelajaran ini juga mendukung intipati strategik Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Agenda Inovasi Malaysia (AIM). Salah satu daripada lima teras strategik yang digariskan dalam RMKe-10 ialah membangun modal insan bertaraf dunia dengan memberi tumpuan kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perkhidmatan pendidikan.

Dasar e-Pembelajaran IPT digubal oleh Pasukan Projek CAP e-Pembelajaran bertujuan untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti pada semua peringkat IPT serta memberi akses yang saksama dan adil kepada rakyat jelata. Ini adalah selari dengan keperluan bidang kritikal e-pendidikan yang dikemukakan oleh National IT Council (NITC, 2010). Dasar dan kerangka e-Pembelajaran telah juga mengambil perhatian dan keperluan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di mana lebih 60% dari Entry Point Project (EPP) menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat. Keperluan ini lebih ketara akibat proses globalisasi yang dibawa oleh teknologi komunikasi dan Internet terkini.
e-Pembelajaran mempunyai beberapa kepentingan dan ini dapat diterjemahkan kepada beberapa objektif seperti berikut:
  • Membangunkan satu repositori dan direktori bahan pembelajaran digital yang boleh diguna pakai oleh semua IPT sekali gus membangunkan budaya berkongsi sumber e-Pembelajaran dan e-Kandungan;
  • Membudayakan e-Pembelajaran di IPT untuk membina komuniti pengamal e-Pembelajaran dan penjana e-Kandungan tulen;
  • Menyediakan infrastruktur yang sesuai dan mesra e-Pembelajaran;
  • Menghasilkan pelbagai e-Kandungan bagi mengukuh pembelajaran dan instruksi;
  • Meningkatkan kemahiran staf, pelajar dan pihak berkepentingan melalui e-Pembelajaran; dan
  • Menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan dalam pedagogi dan teknologi e-Pembelajaran.
petikan dari : http://www.mohe.gov.my/psptn/index.php?option=com_content&view=article&id=79&Itemid=60 

No comments:

Post a Comment