AHLAN WA SAHLAN


Monday, December 12, 2011

Nabi Idris Alaihi Salam

Nabi Idris a.s
Atas daya usaha Nabi Sheth A.S., sesetengah manusia mula mempercayai Allah. Masa berlalu, mereka mula menyembah berhala nabi mereka. Mereka mula menjadi tidak beragama, menyembah banyak tuhan dan tidak lagi beriman dengan Allah. Mereka mengambil jalan yang salah dalam hidup mereka. Pada suatu masa tertentu, Allah telah mengutuskan Nabi Idris A.S. untuk memulih dan membimbing mereka yang telah hanyut itu. Allah telah menyebutnya dalam al-Quran seperti berikut:

" Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka kisah) Idris (yang tersebut) dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi" (Maryam, 19: 56)

Seruan dan Penentangan
Nabi Idris A.S. menyeru umatnya kembali menyembah Tuhan yang satu. Baginda mengarahkan umatnya untuk meninggalkan penyembahan berhala mereka. Baginda menekankan bahawa mereka tidak boleh dikuasai oleh sifat cintakan harta dan kekayaan. Baginda menegah mereka daripada meminum arak dan minuman lain yang memabukkan. Hanya segelintir sahaja yang mendengar seruan baginda tetapi majoriti daripada mereka menentang keras terhadap baginda. Namun begitu, Nabi Idris A.S. tetap tidak berputus asa dan terus menyeru tanpa goyah pendiriannya. Baginda dihargai atas keimanan dan kesabaran yang kental.

"Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris, dan Dzulkifli. Mereka semua termasuk orang-orang yang sabar. Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami, sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh" (Al-Anbiyya, 21: 85-86)


Penghijrahan ke Mesir
Walaupun dengan usaha yang tidak mengenal penat, Nabi Idris A.S. masih tidak dapat mencapai kejayaan yang sepatutnya dan baginda rasa tercabar dengan kelakuan para penduduk zaman itu. Lalu baginda diarahkan untuk berhijrah ke Mesir dan melaksanakan tugasnya di tebing sungai Nil. Baginda menyeru supaya menuju kepada agama Allah kepada pelbagai kumpulan masyarakat dan menasihati mereka supaya berbuat baik dan bertamadun. Akhirnya baginda berjaya membawa perubahan dari segi moral dan sosial hidup masyarakat tersebut.

Kata-kata daripada Nabi Idris
Baginda mengajar dengan teguran dan nasihat yang baik seperti berikut:
1. Jangan berasa dengki dengan kekayaan orang lain.
2. Sesiapa yang mempunyai keinginan yang tidak terbatas, akan menghalangnya daripada berpuashati dengan kekayaan yang diperolehi.
3. Seseorang mestilah ikhlas dalam pengabdian kepada Allah.
4. Berdosa jika melakukan sumpah yang salah.

5. Sabar adalah kunci kejayaan
6. Sesiapa yang mengawal nafsunya adalah seorang yang bertuah. Golongan yang berbuat baik sahaja akan hidup dalam syafaat daripada Allah semasa hari pembalasan.
7. Sesiapa yang ingin mencapai kesempurnaan dalam ilmu, sepatutnya tidak terlibat dengan perlakuan yang tidak bermoral.

Nabi yang Mengetahui
Nabi Idris dilahirkan seratus tahun selepas kematian Nabi Adam A.S. Baginda adalah manusia pertama yang belajar menulis. Diketahui bahawa 30 bahagian ayat-ayat suci Allah diwahyukan kepada baginda. Baginda adalah manusia yang menemui sains astronomi dan aritmetik.

Kematian Nabi Idris A.S.
Nabi Idris A.S. diangkat ke syurga ketika berusia 365 tahun. Ibn Jarir mengaitkannya dalam Rauzatul Ahbab yang Nabi Idris A.S. adalah sahabat kepada malaikat di dalam syurga. Malaikat telah mengangkat baginda ke syurga dan apabila mereka sampai di syurga aras keempat, mereka terjumpa dengan malaikat maut. Malaikat yang mengiringi Nabi Idris A.S. bertanya kepada malaikat maut tentang usia hidup Nabi Idris A.S. dan malaikat maut menjawab:

"Dimanakah Idris ? kerana aku diperintahkan untuk mencabut nyawanya"

Nabi Idris kemudiannya bersemadi di syurga aras keempat dan wafat di dalam sayap malaikat yang membawanya ke syurga. Mutwaslah adalah salah seorang anaknya yang diketahui telah membina tanda untuk Nabi Idris di bumi.

Nabi Nuh Alaihi Salam


Kisah Nabi Nuh a.s
 Bukit Judiy tempat mendarat bahtera Nabi Nuh a.s
 serpihan bahtera Nabi Nuh a.s
Keruntuhan Moral
Nabi Adam A.S. telah meninggalkan keturunannya dalam keadaan dalam keadaan sosial dan moral yang baik namun begitu akhirnya mereka mula melupakan ajaran Allah. Mereka mengambil jalan yang salah dan terlibat dalam rasuah dan kerosakan akhlak. Mereka menjadi kedekut, pengikut syaitan dan tamak haloba. Seluruh masyarakat berpecah-belah kepada beberapa bahagian. Keadaan negeri ini menyebabkan berlakunya penindasan dan ketidakadilan dalam negara.

Kedatangan Nabi Nuh A.S.
Ketika keadaan ini berlaku, Allah yang maha berkuasa berkehendakkan manusia kembali menjadi hamba yang taat kepada-Nya. Dia mengutuskan Nuh sebagai utusan-Nya untuk memulihkan semula masyarakat yang telah rosak akhlak yang tinggal di bahagian 'Iraq'. Mereka mempercayai Allah tetapi mereka juga menyukutukan-Nya dengan tuhan-tuhan ciptaan yang lain. Ahli-ahli agama yang mempercayai banyak tuhan ini mengawal sepenuhnya urusan negara. Para penduduk menawarkan diri untuk melakukan pengorbanan dengan nama tuhan-tuhan itu sebagai satu penghormatan. Mereka memperuntukkan sejumlah besar harta mereka untuk tujuan tersebut dan keadaan menjadi semakin teruk.

Nabi Nuh A.S. seperti juga nabi-nabi lain adalah seorang yang ikhlas, soleh, sabar dan boleh dipercayai. Baginda mempunyai keinginan dan keazaman yang kental untuk memulihkan umatnya. Malaikat Jibril telah menyampaikan kepada baginda ajaran daripada Allah dan diarahkan untuk memulihkan umatnya daripada pengaruh syaitan. Nabi Nuh tetap menyeru supaya beriman kepada Allah dan menunjukkan mereka jalan untuk menyembah Tuhan yang satu dan menasihati supaya tidak melakukan kejahatan.
"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata: "Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-sekali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya" Sesungguhnya (kalau kamu tidak menyembah Allah) aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat). Pemuka-pemuka dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami memandang kamu berada dalam kesesatan yang nyata", Nuh menjawab "Hai kaumku, tak ada padaku kesesatan sedikitpun tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku sampaikan kepadamu amanat-amant Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui " ". (Al-A'raaf, 7:59-62)

Sekali lagi dalam ayat Al-Quran ada menyatakan tentang amaran Nabi Nuh dengan mengumumkan:

"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya peringatan sebelum dating kepadanya azab yang pedih", Nuh berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan kepada kamu iaitu) sembahlah olehmu Allah, bertakwalah kepada-Nya dan taatlah kepadaku, necaya Allah akan mengampuni sebahagian dosa-dosamu dan menangguhkan kamu) sampai kepada waktu yang ditentukan. Sesungguhnya ketetapan Allah apabila telah datang tidak dapat ditangguhkan, kalau kamu mengetahui " (Nuh, 71: 1-4)

Nabi Nuh Ditentang
Kebanyakan penduduk tidak mempercayai Nabi Nuh. Mereka memperbodohkan baginda dan mencemuhnya sebagai orang gila. Mereka menutup telinga apabila disampaikan kepada mereka seruan Allah. Mereka tidak berganjak dari kejahilan mereka dan dengan sombongnya memandang hina nasihatnya supaya berbuat baik. Kaum tersebut sangat degil dan dipengaruhi oleh para ahli agama yang menyebabkan mereka langsung tidak menghiraukan seruan Allah dan menambahkan kebencian dalam diri mereka. Akhirnya Nabi Nuh A.S. telah menangis mengadu kepada Allah.

"Nuh berkata: "Ya Tuhan, janganlah Engkau biarkan seorangpun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambamu, dan mereka akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi kafir. Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan"" (Nuh, 71: 26-28)

Persiapan Bahtera
Seterusnya Allah telah membalas doa Nabi Nuh A.S. dengan memerintahkan baginda membina sebuah bahtera. Nabi Nuh A.S. mengetahui bahawa Allah telah merancang menenggelamkan orang-orang yang jahil dan menolak arahan Allah. Oleh sebab itu, Nabi Nuh A.S. mula membina bahtera dan dibantu oleh para pengikutnya dari pagi hingga ke petang. Selepas bahtera telah separuh siap, orang-orang yang tidak beriman tersebut mengetawakan mereka dan mengatakan Nabi Nuh dan pengikutnya gila.

"Dan mulailah Nuh membuat bahtera. Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewati Nuh, mereka mengejeknya. Berkatalah Nuh: "Jika kamu megejek kami, maka sesungguhnya kami (pun) mengejekmu sebagaimana kamu sekalian mengejek (kami)"" (Huud, 11: 38)

Bala Melanda 
Apabila bahtera yang besar telah siap, langit menjadi mendung. Hujan mula turun dengan lebatnya. Sungai-sungai dilimpahi air. Air memenuhi merata tempat. Cahaya kilat dan guruh membuatkan semua penduduk berasa takut dan gentar kecuali Nabi Nuh dan para pengikutnya. Dalam Al-Quran ada menerangkan keadaan yang dasyat tersebut.

"Maka kami bukalah pintu-pintu langit dengan (menurunkan) air yang tercurah. Dan kami jadikan bumi jadikan bumi memancarkan mata air - mata air maka bertemulah air-air itu untuk satu urusan yang sungguh telah ditetapkan " (Al-Qamar, 54: 11-12)

Nabi Nuh A.S. mengajak keluarga dan para pengikutnya untuk menaiki sampan. Mereka berebut-rebut datang ke bahtera. Terdapat tempat yang istimewa untuk semua makhluk termasuk manusia dan binatang. Bahtera belayar di tengah gelombang yang menggunung sementara arus meningkat laju dan memenuhi rumah-rumah melalui tingkap dan pintu. Banyak rumah yang runtuh menyembah bumi. Setelah mereka cuba berenang sedaya upaya untuk menyelamatkan diri. Anak lelaki Nabi Nuh A.S. telah terpisah daripada baginda kerana tidak mahu beriman kepada Allah. Nabi Nuh A.S. berdoa kepada Allah dan berkata.

"Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata kepada Tuhannya sambil berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang sebenar. Dan Engkau adalah Hakim yang seadil-adilnya" Allah berfirman: "Hai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk dalam keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), sesungguhnya (perbuatannya) perbuatan yang tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-ku sesuatu yang kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikat)Nya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan " " (Huud, 11: 45-46)

Sementara itu, air naik semakin tinggi. Seluruh kawasan mengalami banjir dan orang-orang yang tidak beriman tenggelam. Nabi Nuh A. S. dan pengikutnya selamat dalam bahtera dan terapung tanpa digugat oleh gelombang besar. Akhirnya hujan berhenti, air mula surut dan langit kembali cerah.

Nabi Nuh A. S. Dan Pengikutnya Selamat
Nabi Nuh A.S. dan para pengikutnya selamat sampai di suatu tempat yang sesuai. Mereka telah membina rumah-rumah dan bekerja keras membina hidup baru. Generasi seterusnya yang dilahirkan oleh orang-orang yang selamat ini termasuk dalam manusia yang takutkan Allah. Mereka menyembah Allah yang satu dan berkelakuan seperti yang diperintahkan oleh Allah. Nabi Nuh A.S. hidup kira-kira selama 950 tahun. Selepas peristiwa yang dasyat itu, ada di kalangan generasi yang terselamat kadangkala melakukan dosa dan lalai dalam perlakuan.

Nabi Hud Alaihi Salam


Nabi Huud a.s
Huud A.S. adalah Nabi yang diutuskan kepada Bani 'Ád untuk memulihkan kaum tersebut. Salasilah keturunan baginda berkait dengan Nabi Nuh A.S. dan anaknya. Nabi Huud A.S. berasal dari keturunan Bani 'Ád yang merupakan generasi Sam.

Kualiti Kaum 'Ad Yang Cemerlang
Kaum 'Ád bertengkar dengan anak-anak kaum Ham dan meninggalkan Babylon. Mereka menjadi penduduk di suatu daerah yang terletak di selatan Arab bersempadan dengan Oman, Yaman dan Hadramaut. Di sana, mereka membina istana-istana dan kuil-kuil yang menyembah banyak tuhan dan bintang-bintang . Nama-nama tuhan-tuhan mereka yang utama ialah Saqiah, Salimah, Raziqah dan Hafizun. Kaum Bani 'Ád sangat mahir dalam ukiran batu. Allah telah mengurniakan kepada mereka kekayaan, binatang ternakan, anak-anak dan taman-taman yang indah. Mereka telah mencapai tamadun yang tinggi dan Raja mereka yang terkenal ialah Shaddad. Dia membina istana yang sangat besar berhampiran Adal yang dikenali sebagai Taman Iram (Garden of Iram). Dia juga adalah raja yang kuat dan menakluki sehingga ke Syria, Iraq dan sempadan bahagian benua Indo-pakistan. Kaum ini sangat bangga dengan pencapaian mereka dan menganggap diri mereka unggul dan tidak boleh dilawan. Mereka tenggelam dalam dosa dan perbuatan ganas serta tidak adil. Mereka sedikitpun tidak menunjukkan rasa kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah, malah menjadi hamba yang ingkar kepada perintah-Nya.

Kemunculan Nabi Huud A.S. Dan Menyampaikan Seruan 
Nabi Huud A.S. muncul di tengah-tengah kaum tersebut sebagai pemimpin mereka. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa mereka kembali menyembah Allah. Baginda mengarahkan mereka supaya meninggalkan perbuatan mungkar . Mereka langsung tidak menghiraukan ajaran dan amalan baginda.

"Dan (kami telah mengutus) kepada kaum 'Ad, saudara mereka Huud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya " " (al-'Araf, 11: 65)

Banjir Melanda
Kaum itu tidak mendengar seruannya dan tidak menurut perintah Allah. Maka dengan itu, Allah menurunkan kemurkaan-Nya kepada mereka. Arus yang sangat deras yang jarang berlaku dan ribut yang sangat dasyat telah melanda kaum tersebut yang hampir memusnahkan kebanyakan penduduk daripada kaum tersebut. Ayat al-Quran ada menerangkan seperti berikut:

"Adapun kaum 'Ad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus; maka kamu lihat kaum 'Ad pada waktu itu mati mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul-tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk)" (Al-Haqqah, 69: 6-7)

"Maka kami selamatkan Huud beserta orang-orang yang bersamanya dengan rahmat yang besar dari kami, dan kami tumpaskan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami, dan tiadalah mereka orang-orang yang beriman." (Al-'Araf, 7: 72)

Selepas itu, orang-orang yang bertahan, memulakan hidup baru di Yaman. Makam Nabi Huud A.S. di semadikan di Hadramaut dan selalunya dikunjungi oleh orang-orang Arab pada bulan Rejab.

Nabi Salleh Alaihi Salam

Nabi Salih a.s
Salih di utuskan sebagai nabi kepada Bani Thamud untuk membetulkan kaumnya yang telah mengalami keruntuhan akhlak. Kaum Thamud adalah keturunan Thamud, cucu lelaki kepada Sam. Mereka tinggal di Wadi al-Qura dan al-Hajr antara Syria dan Hijaz. Mereka sangat taksub dengan idola-idola mereka dan mempercayai bahawa idola-idola tersebut memberikan mereka makanan dan hujan, menghalang mereka daripada bahaya dan mengembalikan kesihatan mereka apabila sakit. Kumpulan ini berkembang lebih dua abad selepas kaum 'Ad. Mereka terkenal dengan usia yang panjang dan saiz badan yang besar. Mereka membina bangunan-bangunan yang luas di dalam gua di pergunungan dan mencapai kekuasaan yang luas.

Penyembelihan Unta Betina
Nabi Salih A.S. dihantar oleh Allah untuk menyeru kumpulan tersebut menyembah Allah yang satu tetapi mereka telah memekakkan telinga mereka untuk mendengar seruan tersebut. Apabila Nabi Salih A.S. menegur tentang tuhan-tuhan mereka, mereka berkelakuan biadap terhadap baginda. Akhirnya mereka merancang untuk membunuh Nabi Salih A.S. Allah telah menghantar seekor unta betina sebagai tanda amaran kepada mereka. Sekiranya mereka memindahkan unta tersebut, Allah akan menurunkan bala ke atas mereka. Tiada yang peliknya menjadikan unta betina sebagai tanda. Diketahui bahawa Ka'bah adalah satu bangunan yang menjadi tanda dari Allah. Sesiapa yang cuba memusnahkannya adalah cuba membunuh dirinya. Sama seperti Ka'bah, unta betina adalah salah satu tanda oleh Allah. Nabi Salih A.S. meminta supaya unta itu dibenarkan untuk meragut rumput di padang dan minum di mata air. Orang-orang yang degil telah menyembelih unta tersebut semasa ia meragut rumput di padang ragut.

Hukuman Diturunkan Oleh Allah
Apabila mereka hendak bertindak melaksanakan rancangan mereka yang terakhir menentang Nabi Salih A.S. Mereka telah dimusnahkan dengan hukuman Allah. Satu bala telah menimpa dan mereka telah dimusnahkan dengan letupan gunung berapi yang meliputi kawasan mereka dengan batu-batu. Bala yang menimpa Ban Thamud itu amat dasyat.
Penerangan Dalam Al-Quran

Sesetengah rujukan yang berkaitan dengan Nabi Salih A.S. dan kaumnya adalah mengikut ayat-ayat berikut.

"Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Thamud saudara mereka, Salih. Ia berkata. "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Nya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah dia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya, dengan gangguan apapun, (yang karenanya) kamu akan ditimpa siksaan yang pedih" Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum 'Ad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanah yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu maharajalela di muka bumi membuat kerosakan. Pemuka-pemuka yang menyombongkan diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka: "Tahukah kamu bahawa Salih diutus (menjadi rasul) oleh Tuhannya?". Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu, yang Salih diutus untuk menyampaikannya" Orang-orang yang menyombongkan diri berkata: "Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu" Kemudian mereka sembelih unta betina itu, dan mereka berlaku angkuh terhadap perintah Tuhan. Dan mereka berkata: "Hai Salih, datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu kepada kami, jika (betul) kamu termasuk orang-orang yang diutus (Allah)" Karena itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka." (Al-'Araaf, 7: 73-78)

Nabi Ibrahim Alaihi Salam


Kisah Nabi Ibrahim a.s.
                                                          makam Nabi Ibrahim a.s
Kedatangan Nabi Ibrahim A.S.
Pada suatu ketika dahulu, Allah telah memberi penghormatan dengan memilih Ibrahim sebagai nabi. Baginda berasal dari Mesopotamia yang sekarang dikenali sebagai Iraq Selatan. Baginda adalah model yang sesuai untuk umat manusia. Allah telah menyebutnya dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan seorang yang selalu berpegang kepada kebenaran dan tidak pernah meninggalkannya. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan), (lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah, Allah telah memilihnya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus dan kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang salih"

(An-Nahl, 16: 120-122)

Seruan baginda kepada kaum yang menganuti kepercayaan animisme. Pada zaman itu, kejahilan menguasai pemikiran para penduduk. Kebanyakannya tidak mengetahui tentang Allah dan ajaran-Nya. Mereka memuja matahari, bulan dan bintang namun mereka juga merupakan ahli astronomi yang mengetahui pergerakan planet. Mereka juga menyembah berhala yang diperbuat daripada batu dan kayu dan memberi pelbagai bentuk pemberian kepada berhala-berhala tersebut. Ahli agama mendapat tempat yang baik dalam masyarakat dan diperintahkan kepada para penduduk supaya mereka dihormati. Mereka ini juga dibayar dengan lumayan tetapi kaum yang miskin makin tertindas.

Nabi Ibrahim A.S. merupakan anak kepada Terah yang lebih dikenali sebagai Adhar. Adhar adalah seorang pengukir berhala dan juga pengikut kepercayaan animisme. Dia turut memaksa Nabi Ibrahim A.S. melakukan kerja mengukir berhala tetapi baginda enggan melakukannya. Baginda sangat benci akan berhala yang tidak boleh melihat, mendengar dan bercakap itu.

Ajaran Nabi Ibrahim A.S.
Nabi Ibrahim A.S. menerima wahyu daripada Allah melalui malaikat Jibril. Baginda mula menyampaikan ajaran Allah secara perlahan-lahan. Baginda bekerja dengan tekun dan mula bertelagah dengan orang yang membuat berhala.

"(Ingatkah), ketika Nabi Ibrahim A.S. berkata kepada bapaknya dan kaum baginda: "Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?". Mereka menjawab: "Kami mendapati bapak-bapak kami menyembahnya". Ibrahim berkata: "Sesungguhnya kamu dan bapak-bapakmu dalam kesesatan yang nyata". Mereka menjawab:"Apakah kamu datang kepada kami dengan bersungguh-sungguh ataukah kamu termasuk orang-orang yang bermain-main?". Ibrahim berkata: "Sebenarnya Tuhan kamu ialah Tuhan langit dan bumi yang telah menciptakannya; dan aku termasuk orang-orang yang dapat memberikan bukti atas yang demikian itu". Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan tipu daya terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya." (Al-Anbiyya, 21: 52-57)

Halangan Dari Kaumnya Dan Perbincangan Dengan Raja Namrud
Kaum baginda tidak mengambil perhatian ke atas apa yang diperkatakan oleh baginda. Mereka lebih suka cara mereka sendiri. Mereka tidak mahu berpaling dari menyembah bulan, bintang dan berhala-berhala yang hodoh. Ahli agama mereka tetap menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai Nabi Ibrahim A.S. Mereka khuatir akan dilucut jawatan yang dipegang pada waktu itu. Sebenarnya raja mereka Raja Namrud menganggap dirinya sebagai tuhan. Dia mempunyai istana yang besar dan tentera yang ramai. Dia berhajat untuk bersemuka dengan Nabi Ibrahim A.S dan akhirnya mereka bertemu untuk berbincang. Pada waktu itu, Raja Namrud memandang Nabi Ibrahim A.S. secara mengejek dan berkata: "Apa yang diseru olehmu kepada orang ramai? Mengapa kamu pujuk mereka menyembah Tuhan yang tidak nampak?". Nabi Ibrahim A.S. menjawab: "Tuhan aku adalah satu-satu Yang memberi dan mengambil semula nyawa". Namrud menjawab dengan sombong:"Aku juga mempunyai kuasa untuk melakukannya. Aku boleh membunuh manusia dan membebaskannya juga". Nabi Ibrahim A.S. bertanya satu soalan yang bijak dan memeranjatkan semua orang. Baginda berkata: "Tuhan aku menyebabkan matahari terbit dari timur dan tenggelam di barat. Bolehkah kamu menjadikan matahari terbit dari timur?" Mendengar akan itu, raja terdiam kerana dia tahu tiada manusia yang berkuasa seperti itu.

Selepas beberapa hari, satu majlis istimewa telah diadakan. Terdapat upacara besar-besaran dan semua penduduk diwajibkan untuk menghadirinya. Mereka mabuk dan hilang pertimbangan. Hampir kesemua penduduk telah menghadirinya kecuali Nabi Ibrahim A.S. Baginda mempunyai rancangan tersendiri, lalu baginda ke kuil tanpa disedari orang lain. Apabila baginda sampai di kuil, baginda melihat banyak berhala yang berdiri tidak bergerak sedikitpun.

Nabi Ibrahim A.S. mengangkat kapaknya dan mula memukul berhala tersebut satu persatu. Berhala tersebut jatuh ke lantai dan berselerakan dengan tercerai anggota badannya. Baginda merosakkan semua berhala kecuali satu berhala yang dianggap ketua bagi kesemuannya. Tujuan baginda adalah untuk menunjukkan bahawa berhala tiada berkuasa untuk menyakiti orang lain atau memberi manfaat kepada sesiapa. Baginda lantas meninggalkan kuil secara senyap.

Keputusan Untuk Membakar Nabi Ibrahim A.S. Hidup-hidup
Apabila perayaan selesai, orang ramai kembali ke kuil. Para pengikut yang setia mengiringi ahli-ahli agama ke kuil seperti biasa. Mereka terkejut melihat berhala-berhala yang telah dipecahkan. Lantai dipenuhi dengan serpihan batu dan ketua berhala masih terletak elok dengan kapak tergantung pada lehernya. Para ahli agama menjerit dan orang ramai menyerbu masuk dengan kehairanan. Mereka juga sangat marah dan ingin mengetahui orang yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dan mereka mahu membalas dendam keatasnya. Lalu terdapat di kalangan mereka yang mengagak semuanya adalah perbuatan Nabi Ibrahim A.S. kerana baginda selalu menafikan tuhan mereka dan menyuruh mereka menyembah Tuhan yang satu.

"Maka Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur berpotong-potong kecuali yang terbesar (induk) dari patung-patung yang lain; agar mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya. Mereka berkata: "Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim". Mereka berkata: "Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim."" (Al-Anbiyya, 21: 58-60)

Nabi Ibrahim A.S. telah dipanggil untuk mengadap raja. Apabila baginda datang, baginda telah ditanya sama ada benar baginda yang memusnahkan semua berhala. Baginda terdiam sejenak. Kemudian baginda mengarahkan raja bertanya kepada ketua berhala yang mempunyai kapak tergantung di lehernya selepas kacau-bilau berlaku. Nabi Ibrahim A.S. mempersendakan orang-orang yang bodoh menyembah berhala yang tidak bernyawa dan diperbuat daripada batu. Raja tidak mahu melanjutkan perbincangan kerana hujah Nabi Ibrahim A.S. begitu sempurna dan meyakinkan.

"Mereka bertanya: "Apakah kamu, yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim? " Ibrahim menjawab: "Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya. Maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara." Maka mereka telah kembali kepada kesedaran mereka dan lalu berkata:"Sesungguhnya kamu sekalian adalah orang-orang yang menganiaya (diri sendiri)", kemudian kepala mereka jadi tertunda (lalu berkata): "Sesungguhnya kamu (hai Ibrahim) telah mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara"" (Al-Anbiyya, 21: 62-65)

Walaupun mereka berasa malu tetapi mereka masih berdegil. Mereka membuat keputusan untuk membakar Nabi Ibrahim A.S. hidup-hidup kerana menyebabkan kemusnahan berhala mereka.

Api Tidak Membakar Nabi Ibrahim A.S
Satu relau besar disediakan. Nabi Ibrahim A.S diikat dengan tali dan sangat susah untuk bergerak. Baginda berada dalam keadaan tenang dan gembira apabila mengingatkan bahawa Allah akan menyelamatkan baginda. Baginda langsung tidak melawan dan semua pemerhati terpegun dengan perlakuan baginda.

Lalu baginda dicampakkan di tengah relau yang panas. Nyalaan api marak membakar dan berdesir kuat tetapi Allah memerintahkannya supaya tidak menyakiti Nabi Ibrahim A.S.

"Kami berfirman: "Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim", mereka hendak berbuat makar terhadap Ibrahim, maka Kaum menjadikan mereka itu orang-orang yang paling merugi" (Al-Anbiyaa', 21: 69-70)

Para penduduk yang jahil menyangkakan Nabi Ibrahim A.S. sedang sakit terbakar menunggu mati. Mereka langsung tidak mendengar Nabi Ibrahim A.S. menjerit kesakitan. Tidak berapa lama selepas itu, orang ramai amat terkejut melihat Nabi Ibrahim A.S. berjalan keluar dari relau dengan kedaan selamat seperti tiada apa yang menyentuh baginda.

Penghijrahan ke Palestin
Walaupun telah berlaku keajaiban pada Nabi Ibrahim A.S., baginda tidak juga dapat mengumpul pengikut yang ramai untuk mendengar ajaran baginda. Baginda memberi syarahan dan menempuh pelbagai dugaan dan cabaran untuk membuktikan kepatuhan dan keikhlasan baginda. Apabila kaum tersebut menganiaya baginda, baginda diperintahkan supaya meninggalkan kawasan tersebut dan pergi ke tanah suci yang sekarang dikenali sebagai Palestin. Bagi mematuhi perintah tersebut, baginda tidak mengambil berat masa rehatnya tanpa mendekati orang ramai dan mengajarkan kepada mereka tentang Tuhan dan agama-Nya. Tiada yang dapat melemahkan semangat baginda.

Kelahiran Nabi Ismail dan Penghijrahan Ke Makkah
Oleh kerana Nabi Ibrahim A.S. tidak mempunyai anak dengan Sarah isteri pertama,baginda berkahwin pula dengan wanita lain bernama Hajar (Hagra). Baginda berdoa untuk memperolehi anak lelaki yang baik dan akhirnya doa baginda dimakbulkan. Tidak berapa lama kemudian, Hajar mengumumkan berita gembira tentang dirinya yang sudah berbadan dua. Sampai waktunya, dia melahirkan Isma'il. Tidak lama selepas itu, Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim A.S. untuk membawa isteri kedua baginda Hajar dan Isma'il ke lembah Batha (Makkah). Bagi memenuhi perintah tersebut, mereka terpaksa melalui pelbagai rintangan dan dugaan semasa dalam perjalanan. Mereka sampai di tempat yang dituju selepas melalui satu tempoh yang panjang. Kawasan tersebut berbukit tanpa pokok dan air. Mereka menyiapkan khemah dan meninjau keadaan sekeliling tetapi tiada apa yang kelihatan melainkan padang pasir. Nabi Isma'il A.S. ketika itu baru berusia beberapa bulan dan mula menangis kedahagaan. Ibunya mula mencari sumber air namun tiada yang wujud di kawasan tersebut.

Zam-zam Ditemui
Hajar berlari dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan air antara dua anak bukit iaitu Safa dan Marwa tetapi gagal. Dia kembali kepada anaknya yang kehausan dan dia amat terkejut apabila melihat mata air zam-zam memancut dari bawah kaki anaknya. Dia berasa sangat lega lalu menghilangkan dahaga anaknya dengan air tersebut. Selepas itu, ramai orang dari jauh telah datang ke situ, tempat tinggal Hajar dan Nabi Isma'il A.S. Akhirnya, kawasan tersebut dikenali sebagai Makkah, tempat kelahiran Islam.

Wawasan Nabi Ibrahim A.S. Berdasarkan Pengorbanan Nabi Isma'il A.S.
Nabi Ibrahim A.S. pulang semula ke Palestin untuk bersama dengan isteri pertamanya Sarah. Baginda menerima arahan untuk mengorbankan anaknya Isma'il . Baginda tidak berat hati untuk mematuhi arahan tersebut tetapi anak baginda masih bayi ketika itu. Baginda perlu menunggu sehingga anak itu meningkat remaja. Suatu hari baginda memberitahu anak baginda tentang mimpinya. Baginda amat terkejut apabila anaknya langsung tidak membantah dan bersedia untuk menjadi korban.

Nabi Isma'il A.S. berkata: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar." (Ash-Shafaat, 37: 102)

Ini adalah satu keputusan yang sukar dibuat oleh seorang yang masih muda dan itu menunjukkan keimanan baginda yang tinggi terhadap Allah.

Pengalaman Pahit Mengorbankan Nabi Isma'il A.S.
Pada 10 Zulhijjah, seorang bapa dan anak kesayangan berjalan beriringan. Anak muda itu begitu sabar manakala si bapa dengan penuh takwa mahu menyempurnakan perintah yang diberi. Tiada yang lebih berharga bagi mereka selain berbakti kepada Allah. Mereka berjalan menuju ke Mina dengan pisau pemotong daging di tangan Nabi Ibrahim A.S. yang menggeletar. Banyak kenangan-kenangan lalu dimbau semula oleh mereka. Akhirnya mereka sampai juga di satu tempat yang istimewa. Nabi Ibrahim A.S. meihat anak kesayangan baginda dengan sayu namun anak baginda menjeling baginda sekilas dengan penuh taat dan ceria. Baginda meniarapkan Isma'il di atas tanah dengan jantung yang berdegup kencang. Baginda menggigil dengan penuh emosi apabila baginda meletakkan pisau pada leher Isma'il. Ketika itu adalah saat genting yang amat sukar dilaksanakan.

Allah amat menghargai ketaatan mereka dan berkata:

"Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik." (Ash-Shafaat, 37: 102)

Apabila Nabi Ibrahim A.S. melaksanakan arahan dalam mimpi sebelumnya, baginda diperintahkan pula supaya tidak mengorbankan anak baginda sendiri.

Seekor kambing biri-biri diberi untuk menggantikan Nabi Isma'il A.S. Nabi Ibrahim A.S. berdiri dan kambing bebiri tersebut dikorbankan. Saat yang mendebarkan itu berakhir jua dan mereka berdua sangat gembira serta memanjatkan rasa syukur kepada Allah. Sejak dari itu sehingga sekarang adat mengorbankan manusia telah dibasmi sepenuhnya.

Berita Gembira Kelahiran Nabi Ishaq A.S.
Apabila Nabi Ibrahim A.S. menunjukkan ketaatan yang tinggi terhadap perintah Allah untuk mengorbankan anak baginda Isma'il, baginda dikhabarkan pula berita gembira tentang kelahiran anak lelaki dari isteri pertama, Sarah. Ayat quran menerangkan…

"Dan Kami beri dia kabar gembira dengan (kelahiran) Ishaq seorang nabi yang termasuk orang-orang yang salih. Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishaq. Dan di antara anak cucunya ada yang berbuat baik dan ada (pula) yang zalim terhadap dirinya sendiri yang nyata." (Ash-Shafaat, 37: 112-113)

Masa berlalu dan Sarah yang sudah berusia itu mengandung dan sampai masanya dia melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Ishaq. Kemudian, Isma'il dan Ishaq dilantik sebagai nabi.

Pembinaan semula Ka'bah
Rumah Allah yang pertama, Ka'bah telah dibina oleh Nabi Adam A.S. Ia dibina semula oleh Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Isma'il A.S. Makam Ibrahim masih ada bersebelahan dengannya. Tempatnya adalah batu marmar yang diletakkan pada tempat bagina telah berdiri untuk menaikkan dinding binaan suci tersebut di Makkah. Batu tersebut mengandungi kesan tapak kaki Nabi Ibrahim A.S. Ayat dalam al-Quran telah menerangkan tentang tapak kaki tersebut yang merupakan satu tanda kekuasaan Allah.

"Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: "Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan sujud"." (Al-Baqarah, 2: 125)

Tempat Disemadikan
Nabi Ibrahim A.S. telah hidup selama 175 tahun. Hidup baginda penuh dengan ujian dan… Baginda sentiasa menyeru kaumnya beriman dengan Allah. Apabila baginda wafat, mayat baginda disemadikan di Hebron 20 batu ke barat daya Jurusalem.

Nabi Luth Alaihi Salam


Kisah Nabi Luth a.s.
                                                        laut mati yang terletak di Jordan


Kedatangan Nabi Lut 
Nabi Lut A.S. adalah sezaman dengan Nabi Ibrahim A.S. Dia adalah pengikut kepercayaan bapa saudara baginda. Baginda adalah rakyat Ur, bandar besar di Mesopotamia semasa Allah menganugerahkan kenabian ke atas baginda.

Baginda diperintahkan untuk meninggalkan tanah asal baginda dan pergi ke Sodom dan Gamorra untuk memberi amaran dan memulihkan kaum yang terlibat dengan hubungan homoseksual dan rompakan.

"Dan (kami juga mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah)tatkala dia berkata kepada kaumnya: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu? " Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas."

(Al-'Araaf, 7: 80-81)

Dalam ayat yang lain, terdapat penerangan tentang sifat kaum yang berdosa tersebut.

"Dan (ingatlah) ketika Lut berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya kamu benar-benar mengerjakan perbuatan yang amat keji yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun dari umat-umat sebelum kamu" Apakah kamu patut mendatangi laki-laki, menyamun dan mengerjakan kemungkaran di tempat-tempat pertemuanmu? Maka jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan: "Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar" ". (Al-Ankabut, 29: 28-29)

Nabi Lut A.S. Menyeru Dan Seruan Ditolak
Nabi Lut A.S. dianggap makhluk asing oleh kaumnya. Baginda mula gigih menyeru agama Allah kepada mereka. Baginda menasihati kaumnya untuk mengawal diri mereka menentang hukuman daripada Allah. Baginda juga menggesa mereka membuang tabiat mereka yang berdosa dan memberitahu mereka bahawa Tuhan menciptakan wanita untuk memenuhi nafsu lelaki. Mereka tidak mendengar teguran daripada nabi. Mereka mencemuh dan mengugutnya dengan akibat yang sangat buruk. Mereka menjawab yang nabi akan dihalau daripada bandar tersebut sekiranya baginda tidak berhenti menyeru dan menegur mereka. Ayat dalam al-Quran ada menyebut :

"Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: "Usirlah mereka (Lut dan pengikut-pengikutnya) dari kotamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri.""

(Al-'Araaf, 7: 82)

Idea yang sama dipaparkan dalam ayat di bawah:

"Mereka menjawab: "Hai Lut, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti, benar-benar kamu termasuk orang-orang yang diusir" Lut berkata: "Sesungguhnya aku sangat benci kepada perbuatanmu" (Lut berdo'a): "Ya Tuhanku selamatkanlah aku beserta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan"" (Asy-Syura, 26: 167-169)

Masa berlalu, Nabi Lut A.S. tidak dapat mencapai kejayaan yang dirancang dalam memulihkan orang-orang yang berdosa tersebut. Mereka tidak berasa malu dan amaran daripada Nabi Lut A.S. membuatkan mereka marah.

Kemunculan Malaikat Sebagai Tetamu
Pada suatu hari, tiga malaikat telah mendatangi Nabi Lut A.S. dengan menyerupai pemuda-pemuda kacak dan menyampaikan pesanan penting daripada Allah. Nabi Lut A.S. dan pengikutnya diperintahkan untuk meninggalkan bandar tersebut kerana satu bencana yang dasyat akan berlaku. Apabila para penduduk mendengar khabar kedatangan pemuda-pemuda kacak itu, mereka telah cuba menyerbu rumah Nabi Lut A.S. dan meminta baginda menyerahkan pemuda-pemuda itu kepada mereka. Nabi Lut A.S. sangat terkejut dan berkata:

"Hai kaumku, inilah puteri-puteri(negeri)ku mereka lebih suci bagimu, maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu mencemarkan (nama)ku terhadap tamuku ini. Tidak adakah di antaramu yang berakal?" (Huud, 11: 78)

Mereka menolak rayuan Nabi Lut A.S. dan berkata:

"Sesungguhnya kamu telah tahu bahawa kami tidak mempunyai keinginan terhadap puteri-puterimu; dan sesungguhnya kamu tentu tahu apa sebenarnya kami kehendaki " (Huud, 11: 79)

Nabi Lut A.S. sangat kecewa dan berkata:

"Seandainya aku ada mempunyai kekuatan (untuk menolakmu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku lakukan)" (Huud, 11: 80)

Malaikat menyampaikan Pesanan
Nabi Lut A.S. memberi amaran kepada kaumnya tentang hukuman yang tidak dapat dielakkan sekiranya mereka masih tetap dengan tabiat buruk mereka. Mereka kemudiannya ketawa dan meragui Nabi Lut A.S.. Apabila semua usaha yang dilakukan tidak diendahkan maka malaikat yang menyerupai manusia itu berkata:

"Hai Lut, sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Tuhanmu, sekali-kali mereka tidak akan dapat mengganggu kamu, sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikut kamu di akhir malam dan janganlah ada seorangpun di antara kamu yang tertinggal, kecuali isteri-isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka kerana sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu subuh; bukankah subuh itu sudah dekat?" (Huud, 11: 81)

Nabi Lut A.S. Dibebaskan Dan Kaumnya Dimusnahkan
Nabi Lut A.S. dan pengikutnya meninggalkan bandar pada saat-saat genting di malam hari dan mencari tempat perlindungan yang selamat. Sejurus selepas mereka sampai di tempat perlindungan, satu bunyi dentuman yang kuat menggegarkan bumi. Bunyi itu adalah bunyi gempa bumi yang dasyat dan memusnahkan rumah-rumah dan bangunan-bangunan. Batu-batu melambung ke udara menghentam orang-orang yang cuba melarikan diri. Semua orang yang berdosa habis dimusnahkan. Nabi Lut A.S. dan pengikutnya selamat tetapi isterinya tidak dapat bertahan kerana dia bersimpati dengan penduduk-penduduk lain yang berdosa.

"Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang menguntur, ketika matahari akan terbit. Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang keras. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memerhatikan tanda-tanda. " (Al-Hijr, 15: 73-75)

Nabi Lut A.S. telah menerima kasih sayang Allah dan diumumkan sebagai salah seorang yang benar. Dia meninggal dunia di Palestin dan dikebumikan di Bani Na'ima dekat Habron. 

Nabi Ismail Alaihi Salam

Nabi Ismail a.s.
Kelahiran Nabi Ismail
Nabi Ibrahim merupakan putera pertama nabi Ibrahim. Bonda baginda ialah Siti Hajar yang merupakan isteri kedua nabi Ibrahim. Siti Hajar merupakan seorang wanita yang setia. Beliau berkahwin dengan nabi Ibrahim dengan keizinan isteri pertama baginda, Siti Sara. Nabi Ismail dilahirkan ke dunia hasil doa nabi Ibrahim yang begitu inginkan zuriat.

"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang sabar. "

(ash-Shaafaat, 37:100-101)

Tidak lama selepas kelahiran nabi Ismail, baginda dibawa berhijrah oleh ayahandanya, nabi Ibrahim beserta Siti Hajar ke sebuah tempat yang tandus di atas perintah Allah. Di sana baginda telah ditinggalkan bersama bondanya. Tempat ini merupakan sebuah lembah gersang yang tidak mempunyai sumber air dan hidupan lain.Walaupun berat hati nabi Ibrahim untuk meninggalkan puteranya yang baru lahir dan isterinya yang tercinta, namun atas kepatuhannya kepada perintah Allah, baginda terpaksa pergi. Baginda menyerahkan segalanya kepada Allah di samping berdoa,

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhanku kami (yang demikian itu) agar mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur." (Ibrahim, 14:37)

Suasana pemergian nabi Ibrahim adalah sungguh hiba. Nabi Muhammad pernah bersabda, 'Nabi Ibrahim membawa isteri dan anaknya yang masih lagi menyusu. Mereka ditempatkan berdekatan dengan tapak Kaabah sekarang. Pada waktu itu Mekah masih lagi tidak berpenghuni dan tiada sumber air. Nabi Ibrahim turut meninggalkan bungkusan berisi tamar dan bekas kulit yang penuh dengan air. Di saat keberangkatan nabi Ibrahim, Siti Hajar mengejar baginda seraya berkata, "Wahai kekandaku, ke manakah kekanda akan pergi? Tergamak hati kekanda meninggalkan kami bersendirian di bumi yang tandus ini. Apakah yang kami akan lakukan setelah bekalan ini habis kelak?" Siti Hajar mengulanginya beberapa kali, namun nabi Ibrahim tetap meneruskan langkahnya. Kemudian Siti Hajar bertanya adakah ini perintah dari Tuhan. Nabi Ibrahim menganggukkan kepalanya dan terus berjalan. Siti Hajar berpatah balik dengan penuh reda, kerana percaya bahawa Allah sentiasa berada disisinya dan melindunginya.

Tidak lama kemudian, bekalan yang ditinggalkan mulai habis. Nabi Ismail mulai menangis kerana kehausan. Siti Hajar tidak sampai hati melihat keadaan anaknya. Dia berlari tujuh kali berulang dari Bukit Safa dan Marwa untuk mencari air. Semasa berlari untuk kali kelapan, beliau melihat anaknya, nabi Ismail menghentakkan kakinya ke tanah. Maka dengan kuasa Allah, terpancutlah air dari rekahan tanah yang dihentak tadi. Siti Hajar lantas meminum air itu dan terus menyusui Nabi Ismail. Mata air itu terus mengalir hinggalah sekarang dan dikenali sebagai air zam zam.

Dugaan dari Tuhan
Peristiwa Siti Hajar berlari di antara Bukit Safa dan Marwa merupakan satu sejarah besar di dalam Islam. Ia telah dijadikan salah satu daripada Rukun Haji. Di samping itu, peristiwa bagaimana nabi Ismail menjadi korban juga mengingatkan kita akan ketakwaan baginda kepada Allah. Nabi Ibrahim telah menerima wahyu dari Allah untuk mengorbankan anaknya, nabi Ismail. Kedua-dua anak beranak ini, akur dengan perintah Allah, walaupun telah digoda oleh syaitan. Semasa nabi Ibrahim ingin menyembelih leher anaknya, malaikat telah membalikkan pisau yang tajam itu, dan membisikkan kepada baginda akan wahyu Tuhan agar tidak meneruskan penyembelihan itu, sebaliknya cukuplah sekadar mengorbankan seekor kambing biri-biri.

Apabila sudah dewasa, nabi Ismail berkahwin dengan seorang gadis, tetapi akhirnya mereka bercerai kerana isteri baginda sudah berlaku tidak sopan kepada nabi Ibrahim yang telah menyamar menjadi seorang tua. Kemudian nabi Ismail telah berkahwin dengan puteri ketua suku Jurhum dan perkahwinan ini berkekalan.

Pembinaan semula Baitullah
Baitullah yang juga dikenali sebagai Kaabah merupakan arah kiblat bagi semua umat Islam bersembahyang untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kaabah pada mulanya telah dibina oleh nabi Adam, bapa kepada sekalian manusia. Apabila banjir besar melanda Mekah, Kaabah telah rosak. Nabi Ibrahim telah membinanya semula di atas tapak yang sama.Baginda telah meminta nabi Ismail untuk mencari sebiji batu bagi menandakan penjuru bagi Kaabah. Maka Jibril telah memberikan nabi Ismail petunjuk untuk mencari sebiji batu yang diberi nama Hajarul Aswad. Semasa batu itu diletakkan, mereka telah berdoa;

"(Ingatlah)ketika Ibrahim mempertinggi asas Bait (Kaabah) bersamai Ismail, (kemudian berkata): Ya Tuhan kami, terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami dua orang muslim, (patuh mengikut Mu) dan dari anak cucu kami menjadi umat muslim bagi Engkau, dan perlihatkanlah kepada kami 'amalan haji' dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (al-Baqarah, 2:127-129)

Pendudukan Mekah
Nabi Ismail dan ibunya tinggal berhampiran dengan Kaabah. Keturunan mereka berkembang kepada suku-suku kaum di Mekah. Salah satu darinya dikenali sebagai Quraisy. Daripada suku ini, telah lahir seorang manusia yang agung iaitu Nabi Muhammad SAW. Mekah kemudiannya telah menjadi pusat perkembangan Islam yang termasyhur di seluruh dunia.